Sunday 14 December 2014

Wednesday 3 December 2014

Budapest Convention


Dilaporkan oleh Haslindatul Ikhmar Khisham, Peguam Persekutuan – Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa.

PUTRAJAYA - 20 NOVEMBER 2014:
Unit Perkara Jenayah Antarabangsa, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, JPN telah menganjurkan “Workshop on Cybercrime” selama 3 hari pada 3 - 5 November 2014 di Bangunan Galeria, Putrajaya.

Objektif bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai undang-undang siber di Malaysia, undang-undang antarabangsa yang termaktub di bawah Konvensyen Budapest serta cabaran dalam menangani isu-isu perundangan dan teknikal yang berkaitan. Seramai 30 peserta daripada Kementerian dan Agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara, Cybersecurity, dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi telah menghadiri bengkel ini.

Seramai 11 orang penceramah yang berpengalaman telah dijemput untuk memberikan ceramah bagi bengkel tersebut. Mereka terdiri daripada Prof. Dr. Ida Madieha Abdul Ghani Azmi (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Assistant Professor Dr Sonny Zulhuda (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Encik Nazrul Nizam Mohd Zameri (Bahagian Pendakwaan, JPN), Puan Baizura Kamal (Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, JPN), SAC Mohd Kamarudin bin Md Din (Timbalan Pengarah, Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia), Encik Syed Faisal bin Syed Amir (Ketua Unit Jenayah Perdagangan, JPN), Dr Aswami Ariffin (Naib Presiden CyberSecurity Responsive Services), Puan Bawani Selvaratnam (Ketua Bahagian Pembangunan Dasar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ), Ir. Md. Shah Nuri bin Md Zain (Setiausaha Bahagian Keselamatan Angkasa dan Siber, Majlis Keselamatan Negara), Puan Syariffah Rashidah Syed Othman (Bahagian Keselamatan Angkasa dan Siber, Majlis Keselamatan Negara) dan Encik Anas Anal Mohd Zainal (Ketua Jabatan Pengurusan Keselamatan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).

Dalam bengkel tersebut, peserta telah didedahkan dengan pelbagai isu dan cabaran semasa dalam menangani jenayah siber serta pendekatan yang perlu diambil dari aspek perundangan. Sesi soal jawab juga turut diadakan bagi memberi peluang kepada para peserta berinteraksi dengan penceramah-penceramah.

Pada hari terakhir bengkel tersebut, suatu mesyuarat turut diadakan bagi membincangkan kerangka perundangan yang sedia ada bagi maksud memperkasakan undang-undang siber di Malaysia dengan mengambilkira isu-isu perundangan dan teknikal yang dibangkitkan di dalam bengkel.

Secara keseluruhan, majoriti peserta berpuas hati dengan skop bengkel dan berpandangan bahawa kursus ini amat berfaedah dan menyarankan agar bengkel seumpama ini dapat diadakan pada masa hadapan dengan menumpukan perhatian kepada aspek pendakwaan dan ‘case study’ terhadap kes-kes jenayah siber di Malaysia.